Sunday, 30 April 2017

Pergilah Sepi

Memujuk hati yang berduka
Bukanlah semudah menyusun kata
Merawat jiwa yang terluka
Perit sekali kesannya

Mungkin bertemu muka sekali cuma
Namun kasih terpateri abadi selamanya
Saat bertemu bergetar sukma
Berharap menjadi kekasih hingga kesana

Salam dihulur kasih diterima
Menyulam cinta bagai nak gila
Buruk dilupa baik dipuja
Hilanglah dunia kerana cinta

Hari berganti tahun berselang
Tiba masanya dia menghilang
Saat bersama sentiasa dikenang
Sedih dijiwa taksiapa mengundang
Seksanya hati bersalut duka
Ditinggal tanpa kata
Bak kaca terhempas terbelah dua

Jiwa derita batin terseksa
Jangankau mengalah wahai perwira
Cinta itu cinta biasa
Bangkitlah kerana ada yang perlukan kita

Usah kau ingat cerita lama
Kelak kau yang menanggung binasa
Bisanya kasih perlu kau tawarkan
Agar hati dirawat menjadi sihat

Teruskan hidupmu walau penuh duri
Kakimu bukannya terhimpit batu
Tetapi dirimu yang membelenggu.

Jangan Jatuh Lagi

Susunan aksara mungkin takseindah dunia
Kerna ia coretan seorang hamba
Sedangkan dunia nukilan Sang Pencipta

Wahai sahabat teman setia
Andai kau sedang berduka
Tetaplah tersenyum menutup luka
Sebarkan suka elakkan lara
Kelak kau gembira mencipta nama.

Saat kau terjatuh menyembah bumi
Jangan biar langkahmu terhenti
Bangkit dengan semangat yang tersisa
Kau mampu menongkah ranjau penuh duri
Kerana masih ada Ilahi

Berjuang memang pahit
Kerana kejayaan itu manis
Jangan kau berhenti kerana deritanya
Tetapi berehatlah kumpullah tenaga
Kemudian sambunglah berkelana.