Thursday, 12 June 2014

Amiruddin Al Amin

Amiruddin Al Amin
Amiruddin Al Amin. Nama itu diberi agar membentuk peribadiku. Perkahwinan atas pilihan keluarga benar-benar membahagiakan mereka berdua. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan di dalam kalangan ahli keluarga yang kuat mengamalkan ajaran Rasulullah.
Ketua agama yang dipercayai. Semoga aku mampu melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh umi dan walid melalui namaku. Aku sendiri tidak pasti adakah aku mampu untuk memikul amanah tersebut. Aku tahu,harapan walid dan umi supaya aku turun ke lapangan dakwah amat besar. Pernah sekali aku terdengar sewaktu ayah dan ibu sedang bermusyawarah,mereka berbincang tentang diriku. Mereka amat berharap semoga aku kuat menghadapi cabaran yang akan aku tempuh sepanjang perjalananku dalam medan perjuangan yang semestinya tidak dibentang karpet merah,tetapi terdapat duri dan liku yang akan menghalangku.
Dan untuk langkah yang pertama,mereka menghantarku ke sebuah sekolah menengah agama di salah sebuah daerah dalam negeri Johor. Ya. Matlamat umi dan walid tercapai. Aku mendapat pendedahan awal di dalam medan dakwah di situ. Program yang disediakan di situ saban hari telah menguatkan tekadku untuk berjuang untuk agama Allah,berkorban jiwa dan harta untuk mencapai matlamat sebenar seorang muslim sejati,SYAHID FI SABILILLAH.
Abang-abang senior sering mengingatkan kami agar berdakwah untuk menyedarkan,bukan untuk menghina. Berdakwah biar kena pada caranya. Bukan main hentam keromo. Ayat mesti disusun rapi agar tidak seperti belati yang menyakitkan telinga yang mendengar. Kadang-kadang,tanpa kita sedar,ayat yang kita rasakan sudah cukup sempurna mampu membuatkan orang lain berasa dimaki.
Program yang diadakan di surau juga amat aktif. Setiap hari,tepat pukul tujuh petang,kami akan berkumpul di Surau Hasan AlBasri untuk menghadiri majlis ilmu. Pelbagai jenis tazkirah dapat aku peroleh daripada program ini. Program ini dikendalikan oleh barisan kepimpinan sekolah yang terdiri daripada ahli-ahli BADAR dan juga barisan pengawas sekolah. Tidak berhenti sekadar itu,pada hari tertentu,beberapa orang ustaz akan bergilir-gilir memberi tazkirah ringkas. Untuk menggalakkan kami untuk beribadah,setiap hari Jumaat,akan diadakan pula program Qiamullail Perdana. Program ini dikendalikan oleh Ustaz Abdul Hadi,salah seorang daripada guru yang mengajar di sekolahku.
Memandangkan pada tahun ini kami akan bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu,kami akan mengikuti aktiviti membersihkan kawasan asrama. Ya. Itu juga salah satu cara untuk mendekati Tuhan Yang Esa. Menjaga kebersihan. Menjaga kebersihan itukan sebahagian daripada iman.
Kehidupan sebagai junior amat memenatkan diriku. Maklumlah,dengan minggu orientasi dan sebagainya. Apabila ku mengadu,pasti ada sahaja kalimah daripada umi dan walid yang menyejukkan hatiku. Yang memujukku untuk terus tinggal di sana. Menuntut ilmu di sana. Aduh. Sungguh besar harapan mereka. Aku gusar jika aku tidak mampu membuat mereka berbangga dengan hidupku.
Semakin menginjak usia,semakin berat amanah yang telah aku terima. Aku telah mendapat kepercayaan para guru untuk menjadi seorang pengawas. Pengawas? Ya. Aku memang telah memegang jawatan itu sejak masih di sekolah rendah. Tetapi,pendedahan demi pendedahan yang aku terima menyebabkan aku berasa takut untuk memegang jawatan itu. Yalah. Sebelah kakiku terletak di neraka. Aku mesti menasihati mereka yang melakukan kesalahn. Aku mesti mencatat nama mereka,walaupun mereka itu rakan baikku. Pasti banyak halangan buatku.
Setiap saat yang berlalu mematangkanku. Pemikiranku. Gaya hidupku. Pakaianku. Tutur kataku. Semuanya mengalami transformasi. Perubahanku menyebabkanku mendapat pelbagai gelaran. Pak Ustaz,Imam Muda,Mamat Bajet dan sebagainya. Tidak aku endahkan semua itu. Aku menganggapnya sebagai satu cabaran. Cabaran yang akan membawaku ke platform yang seterusnya,untuk mencapai kepuasan ukhrawi.
Pernah suatu ketika,secara tiba-tiba sewaktu aku sedang berada di dalam kelas pada waktu prep iaitu waktu yang dikhaskan untuk kami menyiapkan tugasan dan menelaah pelajaran,aku telah didatangi oleh sekumpulan pelajar senior. Mereka memanggilku untuk ke luar daripada kelas. Aku tanpa mengesyaki apa-apa telah mengikuti mereka.
Tiba di sebuah sudut di belakang bangunan kelas yang menempatkan pelajar putera,tanpa apa-apa isyarat,salah seorang daripada mereka telah menumbukku. Seorang lagi senior menendangku dari belakang. Mereka menyerangku bertubi-tubi. Ya Allah! Aku memohon perlindungan dariMu. Asakan daripada mereka yang tak henti-henti menyebabkanku tidak mampu untuk mengelakkan diri daripada dibelasah. Aku sudah menjadi barang permainan mereka pada malam itu. Mataku sudah berpinar. Aku sudah tidak mampu untuk berdiri. Kudratku telah hilaang diganti dengan kesakitan yang menjalar di setiap inci tubuhku.
Pada saat aku hampir memejamkan mata,aku terdengar jeritan Abang Farhan,ketua pelajar sekolah pada waktu itu,mengarahkan mereka untuk menghentikan perbuatan itu. Aku rasa amat bersyukur kerana Allah telah menghantar bantuan buatku. Ah! Aku sudah tidak mampu bertahan.
Sebaik sahaja aku membuka mata,aku sedang berada di atas sebuah katil. Aku terlihat Abang Farhan sedang tertidur di sisiku. Aku berasa bingung. Di manakah aku berada? Tidak semena-mena,aku terbau sesuatu. Tahulah aku bahawa aku berada di dalam hospital. Bau ubat yang amat kuat memberi petunjuk kepadaku. Aku mengerling jam di dinding. Baru pukul empat pagi? Hmm. Waktu biasa aku bangun dari ulitan mimpi. Aku ingin bergerak ke tandas untuk mengambil wuduk. Tetapi kesakitan mengganggu pergerakanku.
“Eh? Amir nak ke mana? Biar abang tolong. Amir masih sakit ni. Masih belum kuat nak bergerak sendiri,”Abang Farhan menegurku. Mungkin pergerakanku yang menyedarkannya daripada lena.
“Nak ke tandas,bang,”aku menjawab.
“Oh. Sini abang tolong,”ujar Abang Farhan sambil bangun lalu memaut lenganku.
Usai mendirikan solat sunat tahajud,Abang Farhan memulakan bicara.
“Amir,abang minta maaf sebab abang lewat tiba. Abang datang pun sebab terdengar kecoh-kecoh di belakang bangunan. Itu yang abang datang jenguk. Tak sangka pula mereka sedang belasah Amir. Abang minta maaf sangat,”
“Eh. Tak apalah abang. Amir yang kena ucap terima kasih dengan abang. Abang yang dah tolong Amir. Kalau abang tak datang tadi,tak tahulah apa yang akan terjadi pada Amir,”
“Hmm,”abang Farhan membungkam.
“Abang,boleh Amir tahu apa yang terjadi pada mereka? Kenapa mereka buat begitu kepada Amir?”soalku.
“Hmm. Abang pun tak tahu mengapa mereka buat begitu. Dendam,mungkin. Mereka telah ditahan pihak polis tak lama selepas kamu pengsan,Mir. Ustaz yang telefon polis,”jawab Abang Farhan.
“Mereka tingkatan berapa?”soalku lagi.
“Semua tingkatan empat,Mir,”
“Amir rasa mereka yang kena rotan kelmarin. Alah,yang merokok di belakang asrama itu. Mungkin mereka berdendam dengan Amir kerana Amir yang melaporkan kegiatan mereka kepada ustaz,”aku memberi respon kepada kata-kata Abang Farhan.
Kejadian itu benar-benar menunjukkan kepadaku betapa beratnya tugas yang harus aku pikul. Aku tidak cepat melatah. Sejak kejadian tersebut,aku tidak pernah melihat kelibat mereka lagi. Khabarnya,mereka sudah dipindahkan ke sebuah sekolah pemulihan akhlak di negeri Melaka.
Biarlah. Kejadian itu sudah lama berlalu. Kini,Abang Farhan sudah pun melanjutkan pelajarannya ke sebuah universiti terkemuka di seberang laut. Ah! Rindunya aku dengan Abang Farhan. Sejak kejadian itu,kami menjadi sangat akrab. Ke mana sahaja pasti bersama. Mungkin perasaan bersalahnya terhadapku masih bersisa. Dia telah menjadikanku adik angkatnya.
Ke surau bersama,makan bersama,segala-galanya kami lakukan bersama. Gelaran kepadaku semakin bertambah.
‘Ruler’,Mamat Hijau, dan sebagainya. Jawatan sebagai seorang pengawas benar-benar memerlukan kesabaran yang tinggi. Kelakuan para senior yang akan mengamuk,menyindir dan menyerangku andai nama mereka dicatat amat memeningkan kepalaku. Kekasaran mereka terhadapku semakin menjadi-jadi.
Pernah aku mengadukan perkara tersebut kepada umi dan walid. Jawapan mereka?
“Bersabarlah sayang. Allah pasti akan membalas setiap daripada perbuatan mereka itu. Jika bukan di dunia,pasti di akhirat,”lembut pesan umi menerobos masuk ke dalam lubang ke telingaku.
“Amiruddin Al Amin,dengar walid cakap ini. Baru sikit ujian yang kamu kena hadapi. Baru pegang jawatan sebagai pengawas. Kamu baru cuba berdakwah di dalam sebuah sekolah agama. Belum dengan pelajar sekolah bukan agama. Banyak lagi ujian yang akan kamu perlu tempuh sebagai seorang daie. Walid nak kamu bersabar dengan kerenah mereka. Hatta perlakuan sekecil zarah pun akan dibalas oleh Allah,apatah lagi perbuatan mereka itu. Berdoa kepada Allah agar mereka diberi petunjuk  dan berubah menjadi yang lebih baik. Sesungguhnya,dalam meniti perjalanan hidup,kita akan diberi pelbagai jenis ujian. Tetapi kamu kena ingat,Allah tak akan memberi ujian yang kamu tidak mampu lakukan. Jangan lupa juga,semakin kita cuba mendekatkan diri kepada Allah,semakin banyak ujian yang akan Dia turunkan kepada kita untuk menguji sejauh mana keikhlasan kita untuk mendekatiNya,ujian tanda Allah sayang,”bicara walid yang selembut kapas telah menusuk ke tangkai hatiku.
Aku berasa kerdil sekali dengan Allah kerana baru dikurniakan ujian yang sekecil zarah,aku sudah melatah. Semangatku sudah lemah. Terima kasih umi,terima kasih walid kerana sentiasa menjadi tulang belakangku,sentiasa memberi kata-kata sebagai pembakar semangat,kerana sentiasa mendoakan ketenangan hati anakmu ini yang sentiasa berbolak-balik.
Benar pesan walid. Hidup sebagai seorang muslim banyak cabarannya. Baru diberi ujian dengan abang-abang senior,aku sudah tidak sanggup menghadapinya.  Aku kuatkan tekad di hati. Aku berazam untuk terus kekal di sekolah itu. Ya. Sekolah yang telah memberi pendedahan awal kepadaku tentang perjuangan Islam.
“Berjuang di jalan Allah bukan hanya tertumpu pada peperangan,tetapi juga termasuk dengan berdakwah dan sebagainya. Islam itu agama yang mudah. Jika kita tidak mampu untuk berperang,kita boleh membantu mangsa peperangan dengan memberikan bantuan kepada mereka. Kita juga boleh menyeru rakan-rakan agar sama-sama memboikot barangan Israel. Kita juga boleh mendoakan keamanan bagi penduduk negara yan diserang. Kita juga kena tahan nafsu kita daripada melakukan perkara yang dilarang. Kita juga perlu menjaga ikhtilat. Ikhtilat itu apa? Ikhtilat itu percampuran di antara lelaki dan perempuan. Tetapkan hati hanya kepadaNya. Jangan terperangkap dalam jerat percintaan sebelum tiba masanya,”salah satu pesanan yang telah diberikan oleh Abang Farhan kepada kami sewaktu memberi tazkirah ringkas di surau.
Sungguh. Dia terlalu baik. Dia sering dipandang mulia oleh para pelajar di sekolah ini. Aku amat menghormatinya kerana kelakuannya,ilmunya,dan semua tentang dirinya. Kata-katanya yang mampu menyentuh kalbu,lemah lembut telah menarik minat ramai pelajar untuk melakukan kebaikan. Kesalahan yang dilakukan para pelajar semakin berkurang semenjak dia memegang tampuk kepimpinan sekolah. Aku juga sudah tidak terlalu sibuk dengan tugasku sebagai seorang pengawas. Maklumlah,jumlah salah laku semakin kurang.
Dengan itu,bolehlah aku kembali menumpukan perhatian terhadap hafazanku. Aku bercita-cita untuk menjadi seorang hafiz. Sehingga kini,aku telah berjaya menghafaz sebanyak sepuluh juzuk. Dengan bantuan Abang Farhan yang sering memberikan tips-tips agar aku mudah untuk menghafaz,semangatku untuk menghafal sehingga 30 juzuk semakin berkobar-kobar.
Aku akan mula menghafal pada waktu awal pagi,iaitu selepas aku selesai menunaikan solat sunat. Keadaan yang sunyi telah membantuku untuk menghafal.
Hari demi hari berlalu,sudah lima tahun aku belajar di sini. Pelbagai pahit manis kehidupan telah aku kecapi. Ilmuku semakin lama semakin bertambah. Majlis ilmu yang masih diamalkan semakin lama semakin meriah. Majlis tersebut semakim lama semakin meriah dengan kehadiran para pelajar. Aku kini memegang jawatan sebagai seorang Ketua  Pelajar,jawatan yang pernah dipegang oleh Abang Farhan.
Sewaktu aku ditawarkan untuk memegang jawatan itu,aku berasa sungguh terkejut. Aku meminta izin guruku untuk memberiku tempoh buat sementara waktu agar aku boleh bermusyawarah dengan kedua-dua umi dan walid.
“Amir,umi tak kisah dengan jawatan Amir. Yang penting,Amir mesti pandai bahagi masa. Amir juga kena ingat,amanah yang Amir pegang semakin besar. Umi nak Amir jalankan tanggungjawab tersebut dengan amanah,”bicara umi yang lembut itu memberi nasihat.
“Walid pun tak kisah. Yang penting Amir tidak gila kuasa dan jawatan tersebut tidak membebankan Amir sebaga seorang pelajar. Itu sahaja yang walid nak pesan,”tegas,walid berkata.
Akhirnya,dengan tekad dan azam,aku menerima jawatan tersebut. Aku amat berharap yang aku dapat malaksanakan amanah tersebut dengan jayanya. Aku dapat merasakan bahawa akan terdapat segelintir pelajar yang pasti tidak berpuas hati denganku,terutamanya kumpulan yang diketuai oleh Bakri,rakan sekelasku. Aku amat pasti tentang itu. Ini kerana,sewaktu aku memegang jawatan sebagai pengawas biasa sahaja sudah mereka memfitnah aku dan sebagainya. Dahulu aku amat akrab dengan mereka bertiga. Sejak kejadian aku dipukul dengan teruk semasa aku masih di tingkatan dua,mereka menyisihkan diri daripadaku. Aku tidak tahu mengapa mereka berbuat demikian. Setelah puas menyelidik,barulah aku tahu bahawa mereka sebenarnya anak buah abang-abang senior yang memukulku itu. Sungguh tidak aku sangka sahabat akrabku itu boleh termakan fitnah yang telah ditabur.
Sejak aku memegang jawatan ini,mereka seakan ingin mencabarku. Fitnah yang tidak berasas semakin banyak dilempar. Aku tidak faham mengapa mereka boleh berubah sehingga begini. Ya. Setiap saat yang berlalu akan mengubah pendirian kita dan orang sekeliling.
Mereka mula melakukan pelbagai jenis salah laku. Pernah suatu ketika,aku dan beberapa orang rakan pengawasku telah menangkap mereka ketika sedang merokok di belakang bangunan asrama. Setelah melaporkannya kepada warden yang bertugas,mereka telah dipanggil ke bilik disiplin dan dikenakan hukuman rotan. Sejak mereka di tingkatan lima,perangai mereka semakin menjadi-jadi. Aku telah mendapat pelbagai jenis aduan daripada para pelajar tentang mereka.
Merokok,membuli pelajar junior,menyelinap keluar daripada kawasan asrama pada waktu malam dan sebagainya. Pening kepalaku apabila memikirkannya. Baru-baru ini,aku mendapat laporan bahawa mereka telah melakukan perjumpaan dengan pelajar puteri di dalam kawasan sekolah semasa waktu prep. Akhirnya,aku telah membuat keputusan untuk melakukan mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Pengawas sekolah. Perjumpaan tersebut telah aku adakan di bilik pengawas.
Setelah beberapa jam bermusyawarah,akhirnya kami memutuskan untuk memberitahu masalah yang telah mereka lakukan kepada pihak atasan. Cuma bagi kesalahan melakukan perjumpaan haram yang kami tidak akan memberitahu pihak atasan. Ini kerana,kami tidak dapat memastikan kesahihan cerita tersebut. Sama ada hanya sekadar khabar angin atau pun bukan.
Setelah mendapat laporan kami yang disertakan dengan bukti yang agak kukuh,akhirnya tindakan telah diambil. Mereka bertiga telah digantung sekolah selama seminggu. Dan selama seminggu itulah kerja-kerja sebagai seorang pengawas tidak begitu membebankan.
Seminggu kemudian,mereka telah pulang kesekolah. Semoga mereka insaf dengan perkara yang telah dilakukan. Itu hanyalah sekadar anganan kosong. Perlakuan mereka semakin liar. Mereka sudah berani melakukan perjumpaan haram di kawasan terbuka. Mereka seolah-olah mencabar kami.
Fikiranku sudah buntu. Aku pergi berjumpa dengan Ustaz Hadi,guru yang menjadi tempat untukku merungkai kekusutan yang menjalar di kepala. Setelah meluahkan segala-galanya,Ustaz Hadi menasihatkan aku agar bermusyawarah dengan rakan-rakanku untuk menyekat kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka bertiga,Bakri,Fikri dan Mukri.
“Amir,kamu kena bersabar. Ini adalah salah satu daripada ujian yang diberi. Allah mahu menguji kamu sahaja. Jika benar kamu ingin mempertahankan agamaNya,ustaz harap kamu bermusyawarah dengan sahabat-sahabta kamu. Bukan ustaz tidak mahu membantu,tetapi ustaz tidak mahu cara ustaz akan menambah sakit hati mereka kepada kamu,”seperti biasa,dengan tenang dia menuturkan.
Puas berbincang,aku pulang ke asrama. Aku hempaskan badan ke atas katil.
“Kenapa ni Abang Amir?”tegur seorang junior yang menghuni bilik yang sama denganku.
“Tidak ada apa-apa,Faiz,”aku membalas,lemah.
“Dah. Kamu pergilah kepada kawan-kawan kamu itu. Mereka sudah lama menunggu,”ujarku sambil menuding jari ke arah sekumpulan pelajar junior.
“Baiklah,abang,”sahut Faiz sambil berlalu pergi.
Aku cuba untuk melelapkan mata. Aku ingin berehat sebentar. Belum sempat aku terlelap,aku telah dikejutkan oleh Putra,salah seorang pengawas sekolah.
“Amir! Bangun Mir. Mereka bertiga sudah buat hal lagi,”mendengar sahaja kata-kata itu,mataku yang sudah berat segar kembali. Aku mengeluh perlahan sambil berkata
“Apa yang mereka lakukan?”
“Mereka sedang ‘dating’ di bangunan baru!”ujar Putra.
Tanpa membuang masa,aku segera bangun dan berjalan menuju ke bangunan akademik yang terletak tidak jauh daripada kawasan asrama bersama-sama Ahli Majlis Tertinggi pengawas. Aku terkejut apabila terserempak dengan beberapa orang pengawas puteri.
“Apa yang kamu semua buat di sini?”soalku.
“Kami ingin melihat sejauh mana kelakuan mereka bertiga itu. Sudah lama kami mengintip mereka,”sahut Ketua Pelajar Puteri,Syafiqah Hana.
Aku terpesona seketika apabila melihat wajah ayu Hana. Bertambah pesonanya apabila aku mendengar lembut tutur katanya.
“Amir! Apa yang kau menungkan itu?”tegur Faiz.
“Tak,aku sedang berfikir cara untuk menghentikan mereka,”dalihku.
“Mari kita serbu sahaja mereka,”cadang Faiz.
“Betul juga,”balasku
“Ayuh,Faiz. Kita pergi ke arah mereka,”tambahku.
Kami berdua berjalan ke arah mereka tiga pasangan. Sebaik ternampaak kami berjalan ke arah mereka,Bakri,Mukri dan Fikri segera berjalan menuju ke arah kami.
“Apa yang kau nak Amir?”Bakri menyoalku,kasar.
“Apa yang kau dan kawan-kawan kau sedang buat?” soalku.
“Sudah terang lagi bersuluh,kau masih nak tanya apa yang aku buat? Butakah kau wahai Amiruddin Al Amin? Wahai ketua agama yang dipercayai?”soal Bakri.
“Salah perbuatan kau ini,Bakri,Mukri,Fikri. Haram. Berdosa. Janganlah kamu semua mendekatkan diri dengan lembah maksiat,”tegurku.
“Yakah ustaz? Oh. Hmm. Kau mesti tak pernah rasa ini,kan?”soal Mukri sambil menumbuk perutku.
“Hei Mukri! Dia pernah rasalah! Kau lupakah? Masa kita tingkatan dua tu. Yang sampai masuk hospital. Haa. Ni lagi seorang yang nak kena,”sampuk Fikri lalu menumbuk Faiz.
“Hoi! Berhentilah!”jerkah beberapa orang pengawas yang datang bersamaku.
Mereka berlari ke arah kami. Apabila menyedari kehadiran pengawas-pengawas tersebut,dengan pantas,Bakri memaut leherku. Diacukan pisau dileherku.
“Jangan dekat. Kau datang lagi setapak,nahas Amir!”jerkah Bakri.
“Kau jangan buat kerja gilalah Bakri!”ujar Faiz.
“Lepaskan Amirlah Bakri,”ujar Fakhri,salah seorang pengawas yang tiba.
“Haha. Kau fikir aku bodoh?”ujar Bakri lalu menendangku dari belakang dan berlari pergi bersama rakan-rakannya bersamaa pasangan masing-masing.
“Kau okey tak Amir?”soal Faiz.
“Okey. Sakit sikit sahaja. Tak apa,”ujarku.
“Hmm. Kau orang pergilah balik asrama dahulu. Sekarangkan sepatutnya ada majlis bacaaan Surah AlKahfi. Nanti aku datang. Jangan risau,”tambahku.
Selepas beberapa ketika,mereka akhirnya meninggalkan aku di situ yang sedang berehat di salah sebuah bangku berdekatan.
“Assalamualaikum. Anta okey?”soal satu suara.
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Ana okey,”jawabku,agak kalut. Maklumlah pertama kali bercakap dengan pelajar puteri.
“Erm. Salam perkenalan. Amiruddin Al Amin,”tambahku sambil tersenyum.
“Syafiqah Hana bt Kamaruzzaman,”katanya sambil tersipu lantas berlalu pergi.
Ah! Dia membuat aku tak keruan. Menyedari masa yang pantas berlalu,aku pun bangun untuk ke surau. Sambil berjlan,fikiranku asyik hinggap ke wajahnya yang ayu. Syafiqah Hana. Nama yang sudah mula mencuri hatiku. Kuulang berkali-kali namanya.
Sampai di surau,majlis masih belum tamat. Mataku meliar mencari tiga sekawan itu.  Ke mana pula mereka pergi? Fikiranku runsing. Dua perkara yang sedang bermain di mindaku. Syafiqah Hana dan tiga sekawan tersebut.
Aku pun mengambil tempat. Tamat majlis,aku mengadakan perjumpaan dengan para pengawas sekolahku. Kami berbincang cara untuk menghentikan perbuatan tiga sekawan itu.
Tamat perbincangan,kami menuju ke dewan makan untuk makan tengah hari. Perut yang sudah berorkestra harus diisi dengan segera. Semasa beratur untuk mengambil makanan,aku ternampak kelibat Syafiqah Hana di dewan makan bahagian pelajar puteri. Aku tersenyum sendirian.
Usai makan,aku menuju ke bangunan asrama. Aku ingin berehat. Terasa diri ini terlalu penat.
Malam itu,seperti biasa aku peri ke kelas awal. Aku ingin menelaah pelajaran sementelah peperiksaan akan bermula tidak lama lagi. Aku ternampak Syafiqah Hana sudah tiba di dalam kelas. Ya. Kami sekelas tetapi tidak pernah bertegur sapa.
Aku mempamerkan senyuman kepadanya. Dia segera menundukkan pandangan . ah! Apa yang sudah aku lakukan ini? Aku segera beristighfar.
Tiba,aku terfikir. Alangkah indahnya hidup andai dia menjadi suriku. Aku meneruskan pembacaan. Hari demi hari,peperiksaan semakin hampir. Esok merupakan hari pertama bagi peperiksaan pertengahan tahun.
Aku semakin menumpukan perhatian terhadap pembelajaranku. Tetapi fikiranku sering terganggu dengan bayangan Syafiqah Hana. Senyumannya. Tutur katanya. Semuanya tidak mampu aku usir jauh-jauh.
Peperiksaan sudah tiba. Ditakdirkan,mejaku bersebelahan dengan mejanya. Hatiku melonjak keriangan. Sepanjang peperiksaan,mataku sering mencuri pandang ke arahnya. Hari terakhir peperiksaan benar-benar menyedihkan hatiku.
Aku sudah tidak mampu menahan gelora di hatiku terhadapnya. Aku sudah jatuh suka kepada Syafiqah Hana. Hatiku kini miliknya.
Pada suatu hari,sewaktu guru sedang memberi keputusan peperiksaan,hatiku berasa amat risau. Entah kenapa.
“Amiruddin Al Amin. 57.”Ustazah Sarmi,guru Fizikku menyebut markahku.
Aku berasa amat terkejut. Tidak pernah aku mendapat markah seteruk itu. Apa yang telah aku lakukan? Ya Allah bantulah hamba-Mu ini.
Pulang ke rumah,aku berasa teragak-agak untuk memberitahu kedua-dua umi dan walidku tentang markahku. Malam itu,walid bertanya.
“Amir,macam mana dengan peperiksaan kamu?”
“Erm. Maaf umi,walid. Amir punya markah kali ini teruk sangat.”teragak-agak aku menjawab.
“Tak apalah Amir. Walid dan umi faham. Jangan risau.kami tak akan marah Amir. Kami tahu Amir dah cuba yang terbaik,”ujar walid menenangkan hatiku.
“Baiklah,”aku berkata sambil berlalu untuk masuk ke dalam bilikku.
Fikiranku menerawang. Syafiqah Hana. Segera aku capai beg yang terletak di tepi katil. Aku keluarkan semua surat yang aku terima daripadanya. Aku membeleknya satu persatu. Inilah punca kelalaianku! Aku tidak menyalahkannya. Aku yang memulakan semua ini. Aku yang memulakan aktiviti ini. Aku yang membawanya ke kancah ini. Aku benar-benar menyesal. Ketenangan walid dan umi mendengar kegagalanku menerbitkan perasaan serba salahku kepada mereka.
Ke mana hilangnya ketua agama yang dipercayai? Aku menyesal. Tekadku,ingin aku usir jauh-jauh perasaanku ini. Waktu untuk pulang ke rumah sudah tamat. Kini,aku akan pulang ke asrama.
Malam itu,pada waktu prep,aku telah mendapat sepucuk surat daripada Syafiqah Hana. Berdebar hatiku untuk membukanya. Hatiku tak keruan. Bismillahirrahmanirrahim. Kekuatan aku pohon daripada Allah.
Assalamualaikum,Ketua Agama Yang Dipercayai,
Di sini,ana ingin menulis lirik lagu yang amat ana gemari,
SEE YOU DI IPT.
Santun pekertimu
Dan lembut tutur katamu
Menarik minatku
Untukku mendekatimu

Sepucuk surat ku tulis
Menyatakan harapan
Walaupun ku kebimbangan
Kau berbeza pandangan
Namun ku tetap menanti jawapan

C / O 1:
Alangkah riangnya di hatiku
Luahan hasratku mendapat perhatian
Ku terima balasan darimu
Kau jua menyimpan perasaan

Warkahmu memberi kepastian
Hanya kejayaan menentu pertemuan
Setiap kali di akhir katamu
Kau selalu tulis See You D IPT

Guru selalu mengingatkan
Kita dilarang berkasihan
Ketika masih di alam persekolahan

Bangkit semangat keazaman
Memburu cita dan impian
Biar terpaksa rahsiakan hubungan

(Ulang C/O 1)

Guru selalu mengingatkan
Kita dilarang berkasihan
Ketika masih di alam persekolahan

Dengan segala kesungguhan
Ku timba ilmu pelajaran
Tinggal warkahmu menjadi kenangan

Betapa syukurnya di hatiku
Segala impian menjadi kenyataan
Terpancarlah cahaya gemilang
Kini kejayaan di genggaman

Andai kau kembali ku temui
Akan ku menuntut kata-kata dan janji
Kerna diriku masih mengingati
Kau selalu tulis See You D IPT

Ana harap,anta faham maksud ana. Kita mesti hentikan semua ini. Biar masa yang menentukan sama ada kita akan bersama ataupun tidak. Perbuatan kita ini salah di sisi agama. Sebenarnya,ana rasa bersalah kerana sejak kita saling berhubungan,keputusan anta merosot. Ana tak mahu disebabkan ana,anta ditimpa musibah. Kemerosotan anta dalam peperiksaan mungkin antara amaran daripada Allah untuk kita menghentikan hubungan ini. Ana harap, anta faham. Assalamualaikum.

Ukhuwah fillah,
Syafiqahhana.

Sebaik sahaja menamatkan pembacaan,aku berasa sungguh malu. Malu dengan Syafiqah Hana. Malu dengan Allah.


Tanganku pantas mencari kertas dan pen untuk membalas surat terakhir ini.Tengah aku berfikir ayat-ayat cinta terakhir,hidayah Tuhan sampai.Cahaya yang akan menghilangkan segala titik hitam yang bertapak di permukaan hatiku.Cahaya yang akan membaca cinta ini kepada CINTA.
Dengan penuh yakin,aku mengoyak kertas yang ditulisku tadi.aku yakin,jika aku menulis surat balas,syaitan akan mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasku. Biarlah surat ini bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.
Beberapa tahun sudah berlalu. Kini,aku berkhidmat di sekolah yang membawaku ke arah kebenaran. Sekolah yang tidak pernah lupus dari ingatan. Sekolah yang membantu merealisasikan cita-cita kedua-dua umi dan walid. Sekolah yang banyak mengajarku erti kasabaran. Sifat kepimpinan. Yang membawaku melangkah ke lapangan dakwah.  Aku sangat bersyukur kerana aku telah dihantar ke sekolah ini.
Kini,tiba masanya untuk aku mencurahkan baktiku kepada sekolahku yang tercinta ini. Ku lemparkan pandangan ke arah bangunan asrama. Di situlah aku mengutip pelbagai pengalaman. Pandanganku terarah ke Surau Hasan Al Basri. Di surau inilah aku menimba pelbagai ilmu agama. Medan pentazkirahan.
“Amiruddin Al Amin?” soal satu suara.
Lantas aku berpaling ke belakang. Aku amat terkejut sebaik terpandang tuan empunya suara tersebut. Sungguh,tidak banyak yang berbeza daripada dulu. Cuma sekarang dia sudah berjanggut.
“Bakri?”soalku.
“Betullah kau Amir? Kecil sungguh dunia ini. Kita berjumpa lagi,” ujarnya sambil tergelak kecil.
“Kau pun mengajar di sinikah?” soalku.
“Ya. Sudah dua tahun. Kau kenapa lambat mula mengajar?”soalnya.
“Aku belajar sampai master dulu,”
“Tak banyak yang berubah. Cuma itulah. Kawasan asrama sudah dipagar rapi. Susahlah aku nak keluar malam-malam,”
“Haha. Merepeklah kau,”
“Assalamualaikum,”ujar satu suara. Lembut.
“Waalaikumussalam,”serentak kami menyahut.
Syafiqah Hana! Aku tersenyum kepadanya. Sungguh,hatiku masih miliknya. Aku sudah tahu bahawa dia mengajar di sekolah ini. Sungguh kecil dunia ini! Teringat kisah lalu antara aku dan dirinya suatu masa dahulu.
“Bakri,ana nak jemput anta ke majlis perkahwinan ana hujung minggu ini,”ujarnya,tersipu.
Aku diam tidak berkutik. Hati,sabarlah.
“Wah! Tak sangka! Siapakah yang berjaya menawan hatimu?”ujar Bakri sambil membelek kad yang dihulurkan Syafiqah Hana bt Kamaruzzaman.
“Syafiqah Hana dan Amiruddin Al Amin?”mata Bakri terbeliak.
Aku dan Syafiqah Hana saling berpandangan dan tersenyum. Pantas dia melarikan anak matanya.
“Wah! Percintaan ketika sekolah ini. Tahniah,”kata Bakri sambil menepuk bahuku.
“Alhamdulillah,”ujarku .
“Eh. Aku nak solat dhuha ni. Nak ikut tak?”soalku. cuba mengalih topik.
“Boleh juga,”kami beriringan menuju ke surau itu. Surau yang sudah lama tidak aku jejaki. Sungguh aku rindu dengan aktivitinya.
Usai berdoa,aku termenung sendirian.
Umi,walid,Amir harap umi dan walid tenang di sana. Terima kasih kerana mendidik Amir sehingga Amir berjaya ke tahap ini. Syafiqah Hana. Nama itu terlintas. Sungguh aku tidak sangka aku akan memilikinya. Sungguh hebat percaturan Allah. Perkahwinan atas dasar pilihan keluarga telah menemukan aku dan Syafiqah Hana semula. Bakri,Fikri dan Mukri masing-masing sudah berjaya di dalam kerjaya masing-masing. Sungguh hebat percaturanMu ya Allah.
“Aku terima nikahnya,Syafiqah Hana bt Kamaruzzaman,dengan mas kahwinnya RM 150.00 tunai,”dengan sekali lafaz,Syafiqah Hana sah menjadi milikku.
Alhamdulillah. Semoga Allah memberkati perkahwinan kami. Aku faham sekarang. Allah hantar kesulitan kepadaku suatu masa dahulu kerana Allah ingin menghadiahkan buatku sebuah hadiah yang tidak ternilai harganya. Terima kasih. Umi,walid,Amir tak akan pernah lupa jasa kalian kepada Amir. Semoga tenang di sana.



No comments:

Post a Comment